Semua orang mempunyai individu yang signifikan dalam kehidupan selalunya disayangi dan rapat seperti ibubapa, keluarga, suami, isteri, kekasih hati, sahabat baik dan lain lain. Orang-orang yang signifikan dalam hidup mungkin menjadi tempat kita bertaut emosi, berkongsi serta menjadi sebahagian pelengkap dalam kehidupan. Namun, adakalanya berlaku konflik yang menyebabkan ketegangan emosi kesan daripada perbezaan pendapat, keputusan yang melulu serta tekanan yang diberikan.
Apabila menghadapi keadaan ini ingatlah,
Yang pertama, jangan biarkan emosi menguasai pemikiran kerana jika bertindak melampaui had boleh menyebabkan salah seseorang atau kedua-duanya terluka. Anda perlu sedar anda berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Cuba tarik nafas berkali-berkali dahulu dan bawa diri anda dalam ketenangan. Ketika sudah tenang, kembalikan rasional diri dan cuba bertindak bijak dengan melakukan perkara di bawah;
1. Cuba Dengar.
Bila anda sedar seseorang itu dalam keadaan emosi yang tidak baik, lebih baik anda menjadi pendengar dan faham apa yang mereka ingin cuba sampaikan. Jangan terus cepat menilai dan mengkritik tanpa mendengar luahan tersebut walaupun dia dalam keadaan tidak berpuas hati dengan anda. Sebenarnya, jika anda dalam mod pendengar anda tidak akan menyimbah minyak ke dalam api sebaliknya membawa keadaan yang lebih baik.
2. Fahami perspektif.
Cara seseorang berfikir berbeza antara satu sama lain. Setiap orang dibesarkan dengan nilai dan kepercayaan berbeza sehingga melihat sesuatu melalui perspektif yang berbeza-beza dalam setiap keadaan. Dalam konteks ini, tatkala berlakunya konflik analisis dahulu apa yang ingin seseorang itu sampaikan dan cuba lihat apa sebenarnya yang dimahukan oleh seseorang itu.
3. Respon tanpa provokasi.
Semasa seseorang yang signifikan memberi ruang untuk meminta penjelasan, elakkan melakukan provokasi dengan nada marah dan memberi ancaman kepada dia. Sewaktu menjelaskan kepada dia, ucap terima kasih terlebih dahulu kerana sudi berkongsi luahan dan meminta maaf jika apa yang akan diperkatakan akan menganggu dia. Mencontohi sifat air yang boleh menenangkan api adalah langkah baik buat anda, misalnya bercakap tenang walaupun emosi anda terganggu apabila menerima respon negatif mampu menghindar keadaan yang lebih keruh. Anda perlu bersedia memberi maklumbalas yang baik setiap masa tanpa menghina dan mengkritik serta elakkan perkataan-perkataan yang boleh menyinggung hati dan perasaan.
4. Mencari jalan penyelesaian.
Penyelesaian yang terbaik adalah dengan sentiasa berbincang dalam keadaan yang tenang dan baik. Cuba bertanya kepada orang yang signifikan dengan anda adakah dia mempunyai apa-apa cadangan dalam menyelesaikan masalah ini. Tengok titik penyelesaian pada masalah ini dengan bersemuka. Elakkan medium penulisan mesej seperti whatsapp kerana perkataan tidak menunjukkan emosi walaupun mempunyai emoji. Sebolehnya gunakan panggilan suara ataupun panggilan video jika tidak dapat berjumpa.
Cuba belajar untuk mengetahui teknik menyelesaikan konflik dengan baik kerana ilmu ini dapat membantu anda dalam membina personaliti diri yang asertif. Usah lari dari masalah tersebut kerana mendiamkan diri dan tidak bertanggungjawab akhirnya memberi gambaran negatif tentang diri anda oleh orang lain. Walaupun berat bagi anda, hadapi ia dengan bijak dan berhikmah.
Penulis : Paksu
Editor : Aiman Arshad
Comments
Post a Comment